TGNA - Berbicara Tentang Wanita

at Tuesday 11 June 2013 [ 18:10 ]

Di belakang setiap lelaki tersohor, berdiri seorang insan bergelar wanita dan isteri yang menjadi tunggak kekuatan diri dan keluarga.

Bagi Datuk Nik Aziz Nik Mat, kebahagiaan itu dapat dirasakan setiap kali tidur di riba isterinya apabila letih atau kurang sihat.'Kalau saya selesema, saya kadang-kadang akan tidur atas riba isteri. Itu hiburan bagi saya.

Menangis atas riba isteri, melahirkan rasa penat saya. Alhamdulillah, saya dapat isteri yang tidak banyak mulut,' kata Datuk Nik Aziz mengenai isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak apabila ditanya apa rahsia kebahagiaan rumah tangga mereka.

Datuk Nik Aziz dan isterinya, yang mempunyai lima anak lelaki dan lima perempuan serta 56 cucu, bakal menyambut ulang tahun perkahwinan ke-50 pada 20 November ini. Mereka melangsungkan perkahwinan pada 1962.

Sebagai Menteri Besar Kelantan dan Musyidul Am Parti Islam SeMalaysia (PAS), tentunya beliau mempunyai jadual yang padat.

'Saya turun rumah tiap-tiap hari pada 7.45 pagi. Kalau tubuh saya kurang sihat, saya minta tempoh lagi setengah jam daripada pemandu saya. Misalnya, pagi ini, saya turun pada 8.30 pagi,' kata Datuk Nik Aziz mengenai jadual sehariannya.Menurut beliau, isterinya tidak pernah merungut walaupun kadangkala pulang ke rumah selewat 2 pagi.

Datuk Nik Aziz pernah mengalami serangan jantung pada akhir 2004 dan sekali gus mencetuskan kebimbangan berkaitan penakatan PAS jika beliau meninggal dunia.

Sejak itu, beliau dilaporkan masuk hospital beberapa kali ekoran masalah tekanan darah tinggi dan keletihan.Namun, semasa pertemuan wartawan dengan Datuk Nik Aziz, beliau kelihatan masih cergas. Ditanya amalannya untuk kekal sihat walaupun usianya telah menjangkau 81 tahun, Datuk Nik Aziz berkata beliau akan menjalani ujian kesihatan setiap tiga atau empat bulan.

'Ada masa, saya pergi hospital. Cuti rehat dan duduk rumah itu memang saya tidak ada. Bagi saya, cuti tiada dalam Islam. Misalnya, cuti sembahyang atau cuti puasa, mana ada dalam Islam? Kita bernafas hari-hari. Elaun saya pun jalan hari-hari. Jadi, tiada cuti bagi saya,' kata beliau.

'Saya juga ikut amalan Nabi Muhammad saw iaitu selagi tidak lapar, jangan makan. Apabila makan, jangan sampai kenyang. Nabi kita makan, daging, buah tamar, susu dan sayur-sayuran. Itu sangat digemari oleh Rasullah. Tetapi doktor tidak kasi saya makan daging, saya tak makan. Kalau ada lauk daging, saya curi-curi makan kuahnya adalah. Kalau doktor tahu, beliau tentu marah. Puasa sunat pula, saya mengaku saya kurang amalkan. Masalahnya, saya mudah letih. Manja je, kalau puasa Ramadan 30 hari, saya tidak ada masalah pula,' jelasnya sambil ketawa kecil.

Datuk Nik Aziz bagaimanapun akur beliau kadang-kala akan rasa letih secara mengejut.

'Puncanya kerana saya gunakan air sejuk ambil wuduk. Memang saya tidak boleh gunakan air sejuk. Kalau saya hendak mandi pun, air mandi itu akan dicampur dengan air panas. Kalau saya ke masjid di luar Kelantan, kalau jalan jauh, takkan saya hendak minta air panas untuk ambik air sembahyang. Saya gunakan juga air paip. Itu masalahnya. Nanti saya selesema,' katanya terus terang.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

footerwidget2

footerwidget1

footerwidget4

footerwidget3

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.