Harga Rumah Mungkin Mencecah Jutaan

at Thursday, 11 July 2013 [ 21:16 ]


TIADA keretaku bawa kau jalan-jalan,
Rumahku pun tiada adapun bapa punya,
Apa lagi belanja mau bayar berian,
Kahwin sama kamu...

Mungkin situasi yang disampaikan di dalam bait lirik lagu Anak Kampung nyanyian Jimmy Palikat itu turut dialami sendiri oleh kebanyakan rakyat di negara ini terutamanya generasi muda dan golongan  kelas pertengahan yang menghadapi kesukaran untuk memiliki kediaman sendiri disebabkan harga rumah yang melambung tinggi.

Memiliki kediaman sendiri sememangnya menjadi impian setiap insan apatah lagi sudah mempunyai keluarga sendiri. Namun, hakikatnya harga rumah terutamanya di negeri Selangor dianggap menakutkan dan ‘tidak masuk akal’ jika dibandingkan dengan purata pendapatan isi rumah majoriti rakyat Malaysia.

Malangnya, tidak kira apa jenis sekalipun sama ada flat, teres, apartmen dan kondominium melambung tinggi bukan hanya di kawasan bandar yang pesat membangun bahkan di pinggir-pinggir bandar di Selangor seperti Kajang, Bangi, Sungai Buloh, Rawang dan Klang menunjukkan trend yang sama.

Tidak kira samada rumah tersebut adalah rumah baru atau penjualan rumah ‘second hand’ atau rumah sekunder,  harga keperluan asas tersebut semakin naik kira-kira 20-30 peratus setahun dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Melihat pasaran sekarang, rata-rata harga rumah yang dijual melalui projek perumahan baru dengan reka bentuk “high –end” dengan keluasan 24 x 70 kaki persegi dijual pada harga RM400,000 ke atas, harga yang ditawarkan tidak banyak beza antara satu pemaju dengan pemaju yang lain.

Di kawasan pinggir bandar, Klang contohnya rumah teres dua tingkat baru yang kebanyakan pemaju lebih gemar menjual rumah dengan reka bentuk moden terkini boleh mencecah RM600,000 ke atas.

Jika ada rumah teres dua tingkat sekunder pun kini harganya dalam lingkungan RM300,000 ke atas, itu pun mengambil kira faktor lokasi, keadaan rumah dan keadaan persekitaran.

Pilihan untuk keselesaan golongan pertengahan terletak pada jenis rumah teres setingkat, bagaimanapun tidak banyak pemaju yang membina rumah jenis tersebut. Mungkin pada pandangan mereka adalah lebih berbaloi pada tanah yang sama dibina rumah teres dua tingkat pada harga pasaran sekarang.

Persoalannya, tawaran harga rumah yang semakin  melambung tinggi dari hari ke hari sekarang ini adakah ia memenuhi keperluan majoriti rakyat di negeri Selangor ini iaitu golongan pertengahan?

Dengan harga yang begitu tinggi, ia bukan lagi merupakan rumah mampu milik khususnya bagi warga rakyat yang berpendapatan sederhana iaitu purata jumlah isi rumah RM6,000 sebulan. Rumah jenis apartmen atau kondominium juga tidak kurang hebatnya dan boleh dikatakan agak serupa sahaja harga melambung tinggi walhal ianya tidak melibatkan tanah yang banyak.

Golongan pertengahan terutama golongan muda yang baru berumah tangga menyasarkan memiliki rumah yang berharga dalam lingkungan RM200,000 ke bawah. Namun, masih adakah rumah dengan harga pasaran RM200,000 kini terutamanya di pinggir bandar di Selangor?

Dengan keadaan peningkatan harga rumah yang tidak selari dengan peningkatan pendapatan rakyat ditambah pula nilai wang semakin mencengkam, adakah layak rakyat berpendapatan sederhana memiliki rumah dengan harga pasaran sekarang yang ditambah dengan komitmen lain seperti bayaran bulanan kenderaan dan lain-lain?.

Cecah harga RM1 juta

Sebuah media tempatan sebelum ini melaporkan  rumah teres dijangka mencecah harga RM800,000 seunit menjelang tahun 2020 berdasarkan unjuran kenaikan purata harga sebanyak tujuh peratus setahun oleh syarikat perunding hartanah CH William Talhar & Wong Sdn Bhd (WTW) selepas mengambil kira harga purata terbaru rumah teres di Selangor iaitu RM480,000 sebuah.

Media tersebut turut melaporkan Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea), Profesor Dr. Jariah Masud meramalkan harga rumah teres di Lembah Klang bakal mencecah RM1 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pengarah Urusan WTW, Sr. Foo Gee Jen memberitahu, harga rumah teres di pinggir bandar bakal menjadi lebih kompetitif berikutan kenaikan harga rumah di pusat bandar Kuala Lumpur.         Katanya, untuk memiliki sebuah rumah teres pada tahun 2020 sekurang-kurangnya sebuah isi rumah perlu mempunyai pendapatan sebanyak RM12,000 sebulan.         Jika perkara itu benar, Selangor sebagai yang berada dalam lingkungan Lembah Klang pastinya menerima kesan kenaikan mendadak harga rumah.

Dalam isu ini, nampaknya golongan yang semakin tersepit dan terhimpit adalah golongan berpendapatan sederhana dan pertengahan. Ini kerana, bagi golongan berpendapatan rendah, mereka dibela dengan penyediaan rumah mampu milik kerajaan negeri dan PPR/PPA.

Dilemanya kini ditanggung oleh golongan pertengahan, golongan  berpendapatan RM6,000 ke bawah jika harga rumah semakin naik mendadak saban hari.

Kerajaan Pusat turut merancang strategi holistik untuk menangani isu harga rumah tinggi dengan mengumumkan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia, namun program ini masih belum cukup untuk menangani isu ini secara menyeluruh.

Persoalannya, apakah punca peningkatan harga rumah yang semakin mendadak di Selangor sehingga ia membebankan sekali gus menguburkan impian majoriti rakyat di negeri ini untuk memiliki rumah.
Apakah langkah yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri untuk menangani isu ini agar harga rumah yang ditawarkan selari dengan pendapatan majoriti rakyat?. Adakah skim rumah mampu milik yang disediakan kerajaan negeri mencapai matlamat?.

Jika kenaikan harga rumah disebabkan kos pembinaan seperti pasir yang meningkat, apakah langkah kerajaan negeri untuk membantu. Adakah rumah mampu milik yang disediakan Kerajaan Negeri mampu menampung kira-kira 5.2 juta penduduk Selangor yang mana kira-kira 1. 56 juta penduduk adalah miskin dan 1.36 juta penduduk adalah miskin bandar sebagaimana data yang dikeluarkan oleh Paras Garis Kemiskinan Selangor terdahulu.

Apakah strategi holistik pihak kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk mengawal kenaikan harga rumah?. Wajarkah menjadikan harga barangan binaan sebagai harga kawalan? Bagaimana pula dengan kawalan harga tanah oleh pihak kerajaan negeri agar ia tidak dimanipulasi menyebabkan kenaikan tidak masuk akal rumah yang dibina?. Semua ini perlu diselesaikan oleh pemimpin yang dipilih rakyat agar majoriti rakyat di negeri ini khasnya dapat menikmati kehidupan selesa, bukannya menumpang di negeri sendiri.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

footerwidget2

footerwidget1

footerwidget4

footerwidget3

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.