Amarra Sofea Rose buah hati Azad, Eira
Azad Jazmin dan Eira Syazira
Eira memotong rambut Amarra semasa majlis cukur jambul dan aqiqah anaknya itu.
Majlis cukur jambul dan aqiqah Amarra
JIKA tahun lalu berdua, awal tahun ini pasangan selebriti, Azad Jazmin Lohn Louis dan Eira Syazira, menerima kehadiran puteri sulungnya, Amarra Sofea Rose, pada 11 Januari lalu. Bakal memasuki usia tiga bulan, Amarra yang dilahirkan dengan berat 4.2 kilogram (kg), kini menunjukkan perkembangan tumbesaran yang positif. Malah, momen indah dalam meniti kehidupan bergelar 'mummy dan daddy' digunakan sepenuhnya oleh Eira dan Azad.
"Kami sama-sama menguruskan Amarra. Biasalah, untuk kelahiran pertama, banyak perkara baru yang kami belajar dan cuba memahami mengenai cara penjagaan. Namun, saya bersyukur kerana Amarra tidak banyak ragam. Kalau saya keluar bekerja, Azad akan ambil alih tugas menjaga Amarra. Kami akan bergilir-gilir menjaganya. Tapi, jika kami sama-sama bekerja, saya tinggalkan Amarra kepada pengasuh," katanya yang baru sahaja mengadakan majlis cukur jambul dan aqiqah Amarra pada 31 Mac lalu.
Pada 11 Januari lalu, Eira atau nama sebenarnya, Syazira Shuhaimi, 29, selamat melahirkan Amarra melalui kaedah pembedahan di Hospital Columbia Asia, Puchong. Azad dan Eira selamat diijabkabulkan pada 16 September 2011 di kediaman keluarga Eira di Putrajaya.
Penghargaan buat ibu
Bertanya mengenai pemilihan nama, Azad memberitahu, nama Amarra Sofea Rose, diilhamkannya dan isteri sempena nama kedua-dua ibu mereka. Menurut Azad atau nama sebenarnya, Azad Jazmin John Louis Jeffri, 37, ibunya bernama Roshidah dan ibu Eira, Rohani yang masing-masing berpangkalkan perkataan 'Ro'.
"Jadi, kami sepakat untuk pilih Rose. Sofea Rose memang dah lama saya pilih, namun Amarra baru sahaja di tambah. Kami memilih untuk abadikan nama mereka berdua sebagai tanda penghargaan. Malah, hubungan mereka berdua juga dilihat sangat akrab sejak Eira mengandung," kata pelakon filem, Apa Celoq Toqq.. ini.
Pengorbanan Azad
Walaupun jadual kerjaya semakin padat, namun ia tidak menghalang Azad untuk membantu isterinya dalam melayan karenah Amarra. Menurut Eira, Azad juga tidak kekok untuk melayan karenah Amarra, menukar lampin serta membancuh susu.
"Saya bersalin melalui kaedah pembedahan, jadi pergerakan saya amat terbatas ketika dalam tempoh berpantang. Jadi, selain ibu, Azad sentiasa membantu menguruskan anak. Malah, dia tidak keberatan untuk bangun malam setiap dua jam untuk membancuh susu dan menukar lampin. Malah, tugas itu tetap dipraktikkan sehingga kini. Walau sesibuk mana pun, apabila pulang dari kerja, dia tetap akan melayan Amarra," katanya yang bersyukur diberikan suami yang rajin dan bertanggungjawab.
Rezeki anak
Mengakui rezeki dalam bidang lakonan semakin mencurah-curah, Azad kini memahami, apa itu rezeki anak.
“Sebelum ini, saya tidak memahami apa yang dikatakan rezeki anak. Namun, selepas berkahwin dan memiliki anak, barulah saya faham. Betul kata orang, rezeki anak tetap ada walau banyak atau sikit. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan rezeki yang diterima. Saya tidak kisah untuk bekerja lebih keras dalam memberikan keselesaan dan yang terbaik untuk keluarga," katanya yang baru sahaja muncul menerusi filem, Gangster Celop, pada 21 Februari lalu
Dalam perkembangan lain, Azad juga bakal terlibat dengan filem, Sejoli dan 10 filem bersama Grand Brilliance Sdn Bhd. Selain itu, Azad juga turut diberi kepercayaan untuk mengacarakan program, Mimpi Ke Bintang di saluran TV2. Sementara itu, Eira yang baru sahaja kembali aktif dalam industri selepas melalui tempoh berpantang juga telah menjalani penggambaran drama untuk rancangan TV Alhijrah.
"Alhamdulillah, perancangan saya untuk kembali aktif berjalan dengan lancar. Saya baru sahaja menyiapkan penggambaran drama, Ustazah Hanum, yang bakal disiarkan pada Hari Guru nanti di TV Alhijrah. Selain itu, saya juga tengah menjalani penggambaran drama bersiri, Ikhlas, untuk tayangan pada bulan puasa nanti," kata pelakon drama, Dingin Lavenda, ini.
Belum sedia tambah anak
Ditanya mengenai bilangan cahaya mata yang diingini, Eira berkata, dia belum bersedia untuk menambah anak buat masa terdekat ini. Katanya, ruang yang ada ini digunakan sepenuhnya untuk membesarkan Amarra terlebih dahulu.
"Kalau boleh, dua atau tiga tahun lagi, baru saya mahu tambah anak. Buat masa ini, biarlah Amarra membesar dulu. Namun, kalau diizinkan Allah SWT, untuk saya memiliki cahaya mata dalam masa terdekat, saya dan Azad terima dengan tangan yang terbuka. Saya sebenarnya tak ada target bilangan anak, tak kisah berapa orang pun kerana kehadiran anak ni pun rezeki daripada-Nya," katanya mengakhiri perbualan.