Dari Parlimen

at Wednesday, 2 November 2011 [ 01:21 ]

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (gambar) yang meminta kerajaan memotong satu bulan gaji Perdana Menteri sebanyak RM22,826.65 ditolak pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Usul tersebut ditolak setelah dibahaskan oleh beberapa orang ahli Parlimen termasuk dari Pakatan Rakyat dan BN dan mendapat tentangan hebat dari BN termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz.
Yang Dipetua Dewan Rakyat, Tan Sri Panglima Pandikar Amin Mulia ketika memutuskan perkara itu berkata, disebabkan lebih suara tidak bersetuju, usul itu tidak disetujukan.
Tian Chua dalam usulnya mencadangkan perbelanjaan diluluskan dengan syarat dikurangkan sebanyak RM22,826.65 daripada perkara Maksud Bekalan\Pembangunan 6 - Jabatan Perdana Menteri Kod 1000 Emolumen iaitu dengan memotong gaji satu bulan Perdana Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM22,826.65.
Usul tersebut dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9) dalam Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2012 bagi Jabatan Perdana Menteri.
Menurut Tian yang juga Naib Presiden PKR, usul tersebut dikemukakan selaras dengan kedudukannya sebagai seorang wakil rakyat yang diamanahkan oleh para pengundi dan pembayar cukai untuk menyuarakan perkara-perkara berkepentingan awam.
Katanya, tindakan beliau itu bukan bertujuan untuk memalukan atau menimbulkan kesulitan kepada mana-mana pihak, namun pemotongan gaji sebulan itu cuma simbolik untuk memperingatkan pentadbir supaya menjalankan tugas dengan amanah dan telus.
Dalam usulnya yang dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tian antara lain berkata, dalam sejarah, hutang Kerajaan Persekutuan sehingga 30 Jun 2011 telah mencatat RM437.2 bilion atau 51 peratus dari nisbah hutang tempatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
"Manakala kadar inflasi telah mencatat pada paras yang tinggi iaitu 3.4 peratus sejak bulan Julai hingga September," katanya ketika membacakan usul itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Faktor berlaku inflasi, menurut beliau, disebabkan oleh dasar rasionalisasi subsidi bagi gula, petrol RON 97 dan diesel serta tarif elektrik.
Katanya, walaupun Kerajaan Malaysia membelanjakan jumlah yang besar sehingga RM94 juta bagi memperolehi khidmat perunding antarabangsa, tetapi khidmat yang diperolehi tidak menyumbang dalam pemantapan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
"Dalam hubungan ini juga terdedah dengan hubungan FBC Media dengan APCO yang mempunyai hubungan kerjasama yang rapat serta mempunyai hubungan luar biasa dengan Israel.
"The Independent turut mendedahkan APCO membayar AS$80,000 kepada FBC pada tahun 2008 untuk meningkatkan kesedaran polisi Malaysia," katanya berhubung kegagalan kerajaan dalam urus tadbir.
Menurutnya, baru-baru ini, isi kandungan Laporan Ketua Audit Negara 2010 menjadi isu hangat oleh kalangan rakyat, apabila kandungan laporan audit telah membuktikan ketirisan dan kepincangan kelemahan dalam pentadbiran Najib yang melibatkan ahli keluarga menteri yang turut membuktikan kegagalan tranformasi Najib.
"Kegagalan mendakwa 3 pegawai SPRM yang bertanggungjawab dalam kes kematian Teoh Beng Hock bagi menegak keadilan bagi keluarga Teoh. Ini termasuk pihak SPRM gagal bertanggungjawab ke atas kes Ahmad Sarbani yang dijumpai mati di bangunan SPRM," katanya.
Dari sudut imej antarabangsa, katanya, Perdana Menteri gagal menangani isu-isu perkauman dan agama dengan membiarkan kumpulan-kumpulan pelampau menyerang dan mengancam keharmonian masyarakat.
"Parti pemerintah ditafsir memberi sokongan sunyi dan ini mengujudkan kekhuatiran masyarakat antarabngsa," katanya yang juga Naib Presiden PKR.
Katanya, perhimpunan aman Bersih, pentadbiran Najib telah menunjukkan sikapnya yang memperlekehkan demokrasi dengan menutup bandaraya dan tindakan keganasan oleh pihak polis, sehingga mendapat kritikan oleh pelbagai pihak termasuk badan-badan hak asasi manusia seluruh dunia.
Menyentuh tentang pemborosan pula, beliau berkata, kos lawatan rasmi yang dibelanjakan oleh Perdana Menteri dan isteri semakin meningkat sejak tahun 2008 hingga kini.
Dalam tahun ini, tegasnya, Perdana Menteri sendiri beberapa kali menggunakan wang rakyat untuk tujuan keluarga sendiri termasuk lawatan ke Kazakhstan dan Perth, Australia.
"Lawatan ke Kazakhstan telah membelanjakan RM1 juta yang bertujuan berjumpa dengan besannya. Sebelum ini, Menteri Luar Negara pun gagal menjawab bilangan rombongan ke Kazakhstan dan siapakah mereka," ujarnya.
Manakala lawatan ke Perth pada 31 Ogos hingga 3 September pula, jelasnya, merupakan lawatan peribadi tetapi Perdana Menteri menggunakan pesawat Airbus A319 yang dimiliki oleh kerajaan.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

footerwidget2

footerwidget1

footerwidget4

footerwidget3

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.