Bertunang tempoh kenali pasangan

at Sunday, 3 February 2013 [ 23:29 ]

Patuhi hukum, tak hebohkan majlis untuk jaga kemaslahatan
Khitbah atau bertunang adalah mukadimah bagi sebuah perkahwinan. Ia dilakukan selepas seorang lelaki mencari dan berpuas hati dengan semua sifat yang ada bagi seorang wanita untuk disunting menjadi isterinya.
Sesungguhnya Allah SWT mengharuskan khitbah (bertunang) sebagai salah satu daripada syariat atau perundangan dalam Islam. Dalam tempoh inilah pasangan perlu mengenali hati budi masing-masing supaya mereka dapat membina keserasian dalam membina mahligai cinta abadi.
Peminangan telah wujud zaman Rasulullah SAW. Fatimah binti Qais telah berjumpa Rasulullah SAW menceritakan Mu’awiyah dan Abu Jahm telah meminangnya. Baginda bersabda: “Mua’awiyah seorang yang miskin tiada harta, manakala Abu Jahm pula seorang yang sentiasa menggantung tongkat di atas tengkoknya (garang dengan isterinya), maka kahwinlah dengan Usamah bin Zaid.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis ini Baginda SAW tidak melarang, malah Nabi SAW membantu Fatimah binti Qais untuk mendapatkan pasangan yang sesuai dengannya. Peminangan adalah permulaan proses perkahwinan.
Hukum peminangan adalah harus dan hendaklah bukan isteri orang, bukan mahram sendiri, tidak dalam edah dan bukan tunangan orang.
Sabda Rasulullah SAW: “Kamu tidak boleh meminang tunang saudara kamu sehingga dia (membuat ketetapan untuk) memutuskannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis yang dinyatakan di atas tegas menunjukkan sesungguhnya haram bagi seorang lelaki untuk meminang seorang perempuan yang telah pun menjadi tunangan lelaki lain. Tujuan larangan ini adalah bagi mengelakkan pergaduhan dan permusuhan sesama Muslim disebabkan seorang perempuan.
Islam melarang umatnya bermusuhan antara satu sama lain. Sebaliknya, jika lelaki pertama mengizinkan atau meninggalkan perempuan yang telah dipinangnya, maka ia tidak dilarang sama sekali dan lelaki lain masih boleh meminang perempuan itu bagi menjaga maruah pihak perempuan.
Islam menggariskan, selagi belum melafazkan akad nikah, hubungan pasangan yang bertunang seperti orang asing ataupun ajnabi, yang mana mereka tidak boleh bermesra, berpegangan tangan dan sebagainya seperti mana pasangan suami isteri.
Pasangan yang bertunang juga tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani ahli keluarga selagi mereka tidak sah diijabkabulkan.
Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.” (Surah an-Nur, ayat 30-31)
Satu lagi fenomena yang berlaku dalam masyarakat ialah menghebohkan majlis pertunangan. Amalan ini bertentangan dengan sabda Nabi SAW: “Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan/ hebahkan) perkahwinan.” (Riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair dan disahihkan oleh al-Albani dalam Irwa’ al-Ghalil)
Jelaslah pertunangan sepatutnya tidak boleh diheboh-hebohkan seperti perkahwinan. Islam sangat mengambil berat perkara ini demi menjaga maslahat kedua-dua pihak khususnya perempuan kerana ia membabitkan maruah jika perkahwinan tidak berlaku.
Selain itu, antara hikmah disembunyikan pertunangan kerana perkara itu belum pasti terjadi atau berlangsung pernikahan. Kita sebagai hamba hanya mampu merancang, namun Allah juga yang akan menentukan sama ada takdir itu terjadi ataupun tidak.
Seterusnya, pertunangan disembunyikan untuk mengelakkan daripada fitnah dan perbualan umum masyarakat. Adalah lebih baik jika hanya dalam kalangan ahli keluarga saja yang mengetahui mengenai pertunangan itu.
Apabila pertunangan ini disimpan kemas oleh ahli keluarga bagi kedua-dua belah pihak, ia dapat mengelakkan seseorang yang mempunyai niat tidak baik untuk menjatuhkan atau meleraikan ikatan pertunangan.
Hanya apabila sudah tiba masanya barulah berita mengenai perkahwinan pasangan dihebahkan kepada masyarakat sekeliling untuk meraikan kedua-dua mempelai di samping memberitahu orang ramai majlis pernikahan yang bakal berlangsung.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

footerwidget2

footerwidget1

footerwidget4

footerwidget3

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.