Kesan sekatan penjualan tembakau

at Friday, 28 June 2013 [ 00:29 ]

SEKUMPULAN petani tekun menyemai biji-biji benih tembakau di kawasan berbatu yang terletak di utara Tebing Barat, Palestin.

Daripada riak wajah masing-masing, terpancar harapan agar tanaman yang diusahakan mampu membuahkan hasil, sekali gus menjamin kelangsungan hidup di wilayah yang diperjuangkan selama ini. Bermula daripada proses menanam, mengering dan menggulung, industri tembakau dilihat berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk Palestin.

Bagaimanapun, tekanan terhadap industri itu semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. Ia berpunca daripada undang-undang rasmi Pihak Berkuasa Palestin (PA) terhadap industri tembakau dan sebahagian besar kegiatan ekonomi luar bandar bertujuan meningkatkan pendapatan dan mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung.

Tidak hairanlah, sejak beberapa bulan lalu PA mula bertindak tegas terhadap golongan petani. Sesiapa yang menghasil dan menjual rokok gulung akan dihukum termasuk berdepan dengan tuduhan menyeludup atau ditangkap.

PA sebelum ini berpendapat, pelaksanaan ekonomi moden memerlukan penguatkuasaan undang-undang yang menyeluruh.

Bagaimanapun, tindakan itu dikritik kerana langkah menghapuskan perdagangan pasaran gelap merupakan antara contoh kegagalan PA dalam melaksanakan polisi yang mampu menjamin peluang pekerjaan dan menarik keluar penduduk Palestin daripada belenggu kemiskinan.

"Semua penduduk di sini mempunyai pekerjaan," kata seorang petani, Mohammed Amarnih, 65, sambil memberitahu, penanaman tembakau telah menurunkan kadar pengangguran di kampung-kampung ke paras sifar."Pihak pemerintah tidak memberi kami alternatif lain, sebab itu perdagangan tembakau melalui pasaran gelap merupakan satu-satunya cara kami meneruskan kehidupan seperti biasa," ujarnya.

DAUN tembakau yang dikeringkan akan diproses untuk menghasilkan rokok.

Bekas Perdana Menteri, Salam Fayyad yang meletak jawatan bulan ini turut berdepan tugas getir untuk mengurangkan kadar kemiskinan dan pengangguran yang mencecah kira-kira 25 peratus di negara yang diiktiraf sebagai negara pemerhati bukan anggota dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Beliau bagaimanapun terpaksa meletakkan jawatan selepas gagal melaksanakan manifestonya untuk meningkatkan tahap ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

Bantuan kewangan

Kini, wilayah itu diperintah kerajaan baharu. Ketika pertemuan dengan media baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Mohamad Mustafa yang bertanggungjawab terhadap hubungan kewangan di Palestin memberitahu bahawa cabaran 'getir' sedang menantinya.

"Kami sedang mengkaji polisi ekonomi kerajaan sebelum ini bagi meningkatkan kehidupan dan mengurangkan beban rakyat," katanya.

Tambah Mustafa, PA yang menjalankan pemerintahan sendiri yang terhad di Tebing Barat di bawah perjanjian damai sementara dengan Israel, mempunyai pendapatan tambahan melalui bantuan wang daripada negara-negara penyumbang di samping pungutan cukai. Bagaimanapun, beliau menyedari bahawa lebih 70 peratus pendapatan wilayah itu datang dari sumber yang tidak dikawal sama ada dari negara-negara luar atau di pintu sempadannya melalui hasil-hasil cukai yang dikutip oleh rejim Zionis bagi pihaknya.

Pentadbiran beliau juga turut berhadapan dengan tindakan pihak rejim yang sengaja menghentikan pembayaran setiap kali berlakunya pertikaian dengan kerajaan Palestin. Selama bertahun-tahun PA berusaha membina institusi politik dan ekonomi sebagai persediaan menjadi sebuah negara Palestin yang merdeka.

Bagaimanapun, ia terhalang disebabkan pelbagai sekatan yang dikenakan rejim Zionis sama ada di udara, darat dan laut termasuk menyekat pergerakan penduduk dan perdagangan antarabangsa. Selain itu, ia juga berdepan dengan bil-bil utiliti di kem-kem pelarian, di samping duti kastam yang tidak dituntut di sempadan yang dikuasai, sekali gus menyebabkan pemerintah terpaksa menanggung hutang sehingga AS$4.2 bilion (RM13.4 bilion).

Jumlah itu menyamai kira-kira 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan bajet tahunan yang mencecah AS$3.8 bilion (RM12 bilion).

WALAUPUN diserang bertubi-tubi oleh Zionis yang mengakibatkan mereka kehilangan tempat tinggal, namun rakyat Palestin tidak pernah mengalah.

Tidak jauh dari perkampungan Ya'abad, Nouredeen Atatra, 22, dan beberapa petani tembakau lain berdiri di belakang traktor buatan sendiri yang digunakan untuk menggali tanah bagi mengairi kawasan pertanian di situ. Sesekali mereka menunduk, sambil menggembur baja asli di tapak semaian anak benih.

Rampasan tanah

"Saya mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang sains politik tetapi terpaksa menanam tembakau kerana tiada pekerjaan," kata Atatra.

Jelas Atatra, keluarganya telah mengusahakan tanah pertanian di situ selama beberapa generasi.

"Kami tidak malu menjadi petani di sini. Bagaimanapun, jika kerajaan tidak membenarkan kami menanam tembakau, kami bimbang tanah-tanah kami akan dirampas untuk membina penempatan pendatang Yahudi," ujarnya.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh PA baru-baru ini tembakau mesti dijual mengikut saluran yang sah. Para petani mendakwa, PA cuba menyekat penjualan tembakau yang mereka usahakan biarpun kepada syarikat yang sah kerana mahu syarikat-syarikat itu mengimport tembakau, sekali gus meningkatkan perolehan cukai import.

Bagaimanapun, situasi ekonomi semasa menyebabkan kebanyakan syarikat terpaksa membeli tembakau tempatan yang jauh lebih murah. Menurut statistik yang dikeluarkan kira-kira satu pertiga golongan dewasa di Palestin merokok dan ramai berpendapat, harga AS$7 (RM22) untuk sekotak rokok berjenama antarabangsa seperti Marlboro terlalu mahal.

Ketika ini, mereka boleh membeli rokok pada harga AS$1.10 (RM3.50) sekotak yang dikeluarkan di Ya'abad dan perkampungan sekitarnya. Penganalisis berkata, pemerintah perlu berusaha lebih bagi mengurangkan tekanan kewangan yang dialami penduduk Palestin.

"Ya, mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengawal perdagangan dan polisi kewangan. Bagaimanapun, mereka mempunyai kuasa dalam polisi fiskal, seperti pihak-pihak yang dikenakan cukai. Polisi sedia ada gagal melindungi kepentingan penduduk sehingga menyebabkan ketidaksamaan pendapatan meningkat," kata penganalisis ekonomi, Nasser Abdul Kareem.

Sambil duduk bersantai dan menggulung rokok di tangan, seorang petani cuba melahirkan ketidakpuasan yang terbuku di hatinya.

"Mereka terlalu bergantung kepada bantuan asing sampai terlupa kemampuan diri sendiri," kata Abu Ayman sambil menyedut dalam asap rokoknya.

PENANAM tembakau di Palestin kini tertekan dengan pelbagai sekatan yang dikenakan PA.

"Apa yang kamu boleh harapkan daripada perjanjian Oslo?" tanya seorang petani lain yang merujuk kepada perjanjian keamanan yang ditandatangani dengan Israel sekitar 1990-an.

Rata-rata penduduk Palestin menyalahkan kelemahan perjanjian itu yang merencatkan pertumbuhan ekonomi mereka selama ini.

Jerusalem Cigarette Co. (JCC), sebuah firma perdagangan awam yang beroperasi di luar zon perindustrian di timur Baitulmuqaddis dan merupakan peneraju utama sektor tembakau di Palestin turut berdepan tekanan disebabkan cukai tinggi dikenakan terhadap penjualan rokok sehingga AS$2.60 (RM8.30) bagi setiap kotak, hampir menyamai dua pertiga kos operasinya. Bagaimanapun, penduduk-penduduk kampung yang membekalkan ratusan tan tembakau kepada JCC setiap tahun mendakwa, syarikat tersebut kini kurang membeli daripada separuh jumlah tembakau tempatan yang dituai disebabkan kerajaan menggalakkan mereka untuk mengimport tembakau.

Keadaan itu menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan lain kecuali menjualnya melalui pasaran gelap.

"Tiada Ahli Parlimen yang mahu mewakili suara kami dan Perdana Menteri juga telah memuktamadkan polisi yang ada," kata Saleh Jamel, ketua majlis Kampung Zabdeh yang bertanggungjawab mengkoordinasi polisi pertanian tempatan dengan pemerintah.

Tambah Jamal, penduduk tidak akan mampu bersabar lagi sekiranya terus menerima tekanan.

"Sekiranya pemerintah tidak menyelesaikannya, golongan muda akan hilang sabar dan adalah tidak menghairankan fenomena Arab Spring akan berlaku di sini hanya disebabkan rokok," katanya.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

footerwidget2

footerwidget1

footerwidget4

footerwidget3

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.