BENCI BERTUKAR SAYANG

at Thursday, 10 January 2013 [ 00:38 ]

Seorang lelaki yang mencurigakan telah ditangkap lalu dibawa mengadap Nabi Muhamad saw.

“Tahukah kamu siapakah orang yang kamu tangkap ini?” tanya Rasulullah saw.
“”Tidak wahai Rasulullah,” jawab Muhamad bin Muslamah yang menangkap lelaki itu.
“Inilah Thumamah bin Uthal ketua Bani Hanifah,” kata Nabi Muhamad saw.

Baginda menyuruh lelaki itu diikat pada tiang masjid setelah tiga kali diajak memeluk islam tetapi dia enggan. Walaupun Thumamah bin Uthal diikat pada tiang dalam masjid tetapi diberi layanan yang baik.

Nabi juga berpesan kepada penjaga untanya supaya memerah susu unta yang baru beranak untuk diberikan kepada Thumamah. Apabila makanan yang enak dan susu unta yang segar itu dihidangkan dia memakannya dengan begitu gelojoh dan banyak. Kemudian minta ditambah lagi sehingga dikatakan makanan yang diberikan kepada Thumamah cukup untuk makanan sebuah keluarga yang kecil.

Para sahabat berasa hairan melihat perlakuan tawanan itu yang begitu pelahap memakan dan meminum susu lalu disampaikan kepada Rasulullah. Baginda Cuma tersenyum lalu menyuruh para sahabat terus memberi layanan yang baik terhadap ketua Bani Hanifah itu.

Ketika itu ada diantara para sahabat yang hairan dan tertanya-tanya kenapa Nabi Muhamad saw menyuruh mereka mengikat Thumamah pada tiang masjid dan diberi pula layanan yang baik. Diberi makanan yang enak serta minuman susu unta yang segar.

Apabila masuk waktu sembahyang maghrib maka azan pun dilaungkan oleh Bilal bin Rabah. Untuk pertama kalinya Thumamah mendengar alunan suara yang begitu sedap didengar hingga meresap ke dalam kalbunya. Kemudian dia menyaksikan pemandangan yang begitu mempesonakan apabila orang ramai datang ke masjid untuk sembahyang berjemaah. Apabila Nabi Muhamad datang untuk menjadi imam maka orang ramai dalam masjid itu berdiri menunjukkan rasa hormat terhadap baginda.

Kemudian Nabi Muhamad menjadi imam sembahyang berjemaah. Thumamah mendengar betapa merdunya suara Nabi Muhamad apabila membaca ayat suci al Quran. Apabila beliau rukuk maka orang ramai di belakangnya rukuk. Apabila dia sujud maka orang ramai dibelakangnya sujud dengan begitu tertib dan kusyuk. Thumamah menjadi kagum kerana pemandangan yang begitu hebat belum pernah disaksikannya. Walaupun dia ketua Bani Hanifah namun tidak pernah diberikan penghormatan yang sebegitu rupa oleh kaumnya.

Pemandangan yang begitu mengagumkan itu berlaku lagi apabila Nabi Muhamad dan para pengikutnya melakukan sembahyang Isyak. Sekali lagi Thumamah mendengar suara Bilal bin Rabah mengalunkan suara azan. Sekali lagi dia mendengar Nabi Muhamad membaca ayat-ayat al Quran ketika menjadi imam.

Pada waktu malam pula para sahabat bergilir-gilir datang ke masjid untuk beramal ibadat. Ada yang datang pada awal dan pulang di pertengahan malam setelah melakukan amal ibadat. Ada pula yang datang waktu tengah malam lalu beramal ibadat hingga ke pagi.

“Saya hairan dan masih tertanya-tanya. Bagaimana tuan mengenali saya sedangkan kita belum pernah berjumpa?. Bagaimana tuan tahu tujuan saya datang ke Madinah mahu membunuh tuan?. Tetapi niat itu tidak berjaya apabila saya ditangkap pasukan tentera berkuda tuan. Dan walaupun tuan tahu niat jahat saya kenapa masih diberi layanan yang baik?”

“Wahai Muhamad, jatuhkan segera hukuman ke atas saya. Jika dihukum bunuh saya rela menerimanya kerana hukuman itu memang sesuai dijatuhkan ke atas saya. Jika saya dibebaskan itu merupakan nikmat terhadap saya dan saya akan mengucapkan terima kasih kepada tuan. Tetapi jika tuan mahukan tebusan maka keluarga saya sanggup membayar berapa sahaja yang tuan mahukan,” kata Thumamah dengan bersungguh-sungguh.

“Aku bebaskan engkau wahai Thumamah,” kata Nabi Muhamad saw sambil memandang wajah tawanan itu.

Thumamah segera dibebaskan. Dia tidak lagi diikat pada tiang masjid apabila tali yang mengikatnya sudah diputuskan.

“Wahai Rasulullah, saya mahu menjadi pengikutmu…”
Maka Thumamah pun mengucapkan kalimah syahadah mengaku tidak ada tuhan yang disembah selain Allah dan mengaku Muhamad itu pesuruh Allah.

“Wahai Rasulullah, dengarkanlah pengakuan saya ini. Demi Allah sebelum ini tidak ada wajah yang paling saya benci selain wajah tuan. Tetapi sekarang tidak ada wajah yang palin g saya cintai di atas muka bumi ini selain dari wajah tuan. Demi Allah, sebelum ini tidak ada agama yang paling saya benci selain agama yang tuan bawa. Dan sekarang tidak ada agama yang lebih saya cintai selain Islam. Demi Allah, sebelum ini tidak ada negeri yang paling saya benci selain negeri tuan. Tetapi sekarang tidak ada negeri yang lebih saya cintai selain negeri tuan,” kata Thumamah.

(Petikan dari novel Perjanjian Hudaibiyah) - Abdul Latip

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

footerwidget2

footerwidget1

footerwidget4

footerwidget3

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.