Pendidikan Seks

at Monday, 8 April 2013 [ 19:04 ]

APABILA memperkatakan mengenai pendidikan seks, ramai ibu bapa yang salah anggap mengenai maksud sebenar. Hakikatnya, pendidikan seks bukan bererti mengajar anak-anak mengenai hubungan seksual antara lelaki dan wanita semata-mata.
Menurut Kamus Dewan, perkataan seks bermaksud sifat-sifat yang membezakan antara lelaki dan perempuan iaitu jantina atau keinginan syahwat. Secara umum, perkataan seks memberikan gambaran tentang suatu keadaan iaitu hubungan antara berlainan jantina iaitu lelaki dan perempuan.
Bagi sesetengah masyarakat, perbincangan tentang topik seks dianggap sebagai pantang larang atau tidak wajar dibicarakan. Ia dianggap perkara yang terlalu peribadi. Namun, apabila perkataan seks dikaitkan dengan pendidikan, ia akan memberi satu maksud yang amat berbeza.
Pendidikan seks secara umumnya merupakan satu proses mendidik yang bersifat maklumat (cognitive), pemahaman dalaman (internal consiousness / spiritual / morality) dan jasmani (physical) kepada golongan sasaran tertentu tentang amalan kehidupan yang berkaitan dengan hubungan di antara dua jantina tersebut.
Ia boleh dilaksanakan sama ada secara formal ataupun tidak formal. Dalam konteks ini, pendidikan seks adalah wajar.
Ajarkan batasan aurat
Setiap ibu bapa perlu ajarkan anak-anak mengenai batasan aurat. Islam telah menggariskan batasan aurat yang perlu dipatuhi, bukan saja kepada wanita malah kepada lelaki.
Aurat asas bagi seorang lelaki adalah menutup bahagian antara pusat dan lutut. Aurat wanita pula ialah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Aurat lelaki pada bila-bila masa dan apabila bersama-sama sesiapa pun adalah sama iaitu antara pusat dan lutut. Tetapi bagi wanita, terdapat perbezaan dalam beberapa keadaan antaranya:
i) Aurat ketika sembahyang
Aurat wanita ketika sembahyang adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.
ii) Aurat ketika bersama mahram
Pada asasnya, aurat seseorang wanita dengan mahramnya adalah antara pusat dan lutut. Namun, wanita dituntut agar menutup mana-mana bahagian tubuh badan yang boleh menaikkan syahwat lelaki walaupun mahram sendiri.
Perkara ini dilakukan bagi menjaga adab dan tata susila wanita terutamanya dalam menjaga kehormatan agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini.
iii) Aurat ketika di hadapan lelaki bukan mahram
Aurat wanita di hadapan lelaki bukan mahram ialah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.
Kewajipan menutup aurat di hadapan lelaki bukan mahram amat penting dan perlu dilaksanakan oleh setiap wanita, bagi mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini seperti rogol.
Perkara ini terjadi disebabkan memuncaknya nafsu para lelaki akibat melihat wanita yang memakai pakaian yang tidak senonoh dan mendedahkan sebahagian tubuh badan mereka.
Sehubungan itu, anak-anak perlu diajar untuk memahami batas-batas aurat ketika berhadapan dengan orang tertentu dalam keadaan yang berbeza-beza.
Batasan pergaulan
Ibu bapa wajib mengajar anak-anak mengenai batasan pergaulan seperti yang disarankan oleh syariat. Terdapat enam etika pergaulan antara lelaki dan perempuan termasuk antara anak lelaki dan anak perempuan yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan daripada mendekati zina iaitu:
a) Menundukkan pandangan, menutup aurat, batasan aurat, ada penghalang antara lelaki dengan wanita, tidak berdua-duaan antara lelaki dan perempuan, tidak melunakkan ucapan atau percakapan dan tidak menyentuh kaum berlawanan jenis.
b) Pengasingan anak lelaki dan perempuan
Ibu bapa perlu mengasingkan tempat tidur antara anak lelaki dan anak perempuan. Bukan sekadar berasingan katil tetapi juga berasingan bilik. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perintahkanlah anak-anakmu dengan (menunaikan) solat pada umur 7 tahun. Dan pukullah mereka kerana (meninggalkan) solat pada umur 10 tahun, dan pisahkanlah antara mereka pada tempat tidurnya." (hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim).
Hadis ini jelas menyuruh kita agar memisahkan tempat tidur antara lelaki dan perempuan apabila mereka berusia 10 tahun. Ia menjelaskan hikmah perlunya anak-anak ini diasingkan tempat tidur bukan saja daripada saudara kandung tetapi juga daripada ibu bapanya sendiri.
c) Adab masuk ke bilik ibu bapa dan adik-beradik
Anak-anak juga perlu diajar mengenai adab masuk ke bilik ibu bapa dan bilik saudara kandung. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh antara kamu meminta izin kepada kamu (sebelum masuk kepada kamu) dalam tiga masa: iaitu sebelum solat subuh, ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah solat Isyak.
Itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya) dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada masa yang tersebut, (kerana mereka) orang yang selalu keluar masuk kepada kamu dan kamu sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang yang tersebut dahulu meminta izin.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

footerwidget2

footerwidget1

footerwidget4

footerwidget3

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.