Peralihan cita rasa batik Indonesia

at Tuesday, 9 April 2013 [ 19:13 ]

“MARI dik, pilih-pilih semua kainnya bagus-bagus,” teriak seorang penjual wanita yang dicabar pula penjual lain di deretan kedai menjual batik di Jogjakarta, Indonesia. Usaha tersebut demi menangkap minat pembeli yang bersesak-sesak dalam lorong sempit itu.

“Ini berapa ya mbak?” soal seorang teman penulis yang sememangnya warga asal tanah Jogjakarta. Kunjungan penulis bersama beberapa teman ke Pasar Beringharjo pagi itu bertujuan mencari oleh-oleh untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur, terutamanya kain batik yang terlebih awal telah dikirim oleh ibu dan kakak.

Proses tawar-menawar menjadi mudah atas bantuan teman kami, Puthut Ardianto. Dia sememangnya arif tentang harga setiap jenis fabrik di pasar tradisional Jalan Jend A. Yani di kawasan Malioboro itu.

Sebagai orang luar, walaupun kita cuba berbicara dalam dialek Indonesia, rata-rata penjual pasti mudah meneka kita orang Malaysia. Kata Puthut: “Orang di sini kebanyakannya berbahasa Jawa, apabila orang lain bercakap bahasa Melayu, mereka tahu orang itu bukan orang tempatan.”

Pencarian batik pada hari itu sangat memuaskan hati kami. Di tangan kami terdapat koleksi batik Jogjakarta daripada jenis parang, truntum dan tidak ketinggalan mega mendung. Kemeja batik dengan sentuhan moden juga banyak dijual di kebanyakan kedai di situ.

Berkelas antarabangsa

Indonesia memang diangkat selaku negara pengeluar batik berkelas antarabangsa. Negara tersebut tidak menyekat ketinggian budaya mereka untuk diolah menjadi batik moden, selari perubahan cita rasa masyarakat.

“Kecenderungan batik penduduk Jogjakarta telah mengalami perubahan sejak beberapa tahun lepas. Permintaan batik klasik mula berkurang dan para pelanggan mula mencari batik tempatan yang melalui modifikasi dari segi corak, warna dan potongan.

“Warna-warna ceria dan terang menjadi pilihan utama. Batik moden mula dipakai majoriti anak-anak muda sekali gus mewujudkan perbezaan ketara antara cita rasa batik mengikut peringkat usia.

“Bagaimanapun harga batik klasik tetap kekal malah, lebih mahal berbanding batik moden. Ini kerana jenis tradisional banyak menggunakan teknik tulis. Batik klasik Jogjakarta juga masih digayakan pada majlis perkahwinan dan keraian istimewa,” ujar Puthut, 29, yang menjalankan kerja sampingan sebagai pereka batik moden di bawah label Lemos Pires.

PERSALINAN klasik masih menjadi keutamaan warga Indonesia ketika menghadiri majlis perkahwinan.

Jenis batik

Spesifikasi batik dominan di kota yang masih setia menyanjung sultan itu dapat dipecahkan kepada empat jenis.

Pertamanya ialah batik parang yang terbahagi kepada beberapa bahagian seperti parang rusak atau asli sementara barong merupakan dua jenis batik kumpulan itu yang paling terkenal di Jogjakarta. Parang barong mempunyai ukuran motif yang lebih besar dan signifikan terhadap persalinan kerabat diraja.

Batik truntum pula sarat dengan motif bungaan yang sempurna buat golongan wanita. Selain itu, batik lereng juga antara kebanggaan masyarakat di penempatan yang pernah menjadi pusat pemerintahan Indonesia sebelum berpindah ke Jakarta.

Akhir sekali ialah batik kawung, paling mudah didapati dan sinonim sebagai pakaian orang kebanyakan.

Batik Jogjakarta dengan batik dari daerah lain di Indonesia dapat dibezakan daripada penggunaan warna latar belakang batik. Rona putih menjadi palet teras semua jenis batik di situ dan sebagai perbandingan, batik dari Solo menggunakan warna coklat cair sebagai latar belakang.

Batik galau

Tambah Puthut yang berkhidmat sebagai pensyarah tetap bahasa Inggeris di Universiti Muhammadiyah, bagi memberikan elemen segar dalam variasi batik Jogjakarta, dia telah mencipta batik yang diberi nama batik galau.

Menurut lelaki yang memulakan perusahaan sejak tahun 2009 itu, batik galau hasil usahanya menggabungkan tiga motif batik tempatan yang terdiri daripada truntum, parang dan kawung.

Galau mudah dikenal pasti menerusi susun atur motifnya yang berbentuk pulau. Ia antara pilihan popular pelanggan Puthut untuk dijadikan kemeja bagi kaum Adam dan dres untuk kelompok wanita.

Teknik cop atau tulis kombinasi menjadi percaturan Puthut bagi batik galau. Bagi galau cop, ia boleh dimiliki pada harga bermula 140,000 rupiah (RM44) manakala batik jenis tulis kombinasi dijual pada harga sederhana disebabkan gabungan teknik tulis dan cop yang digunakan.

“Bagi menghasilkan sehelai kemeja lengan panjang, saya perlu menggunakan minimum dua meter kain batik. Mungkin ia kedengaran tidak munasabah tetapi motif batik pada kedua-dua bahagian kemeja yang dipisahkan butang pada bahagian tengah perlu bercantum.

“Kemeja lengan pendek pula selalunya menggunakan satu setengah meter kain tetapi bahagian poket kemeja ditekapkan motif batik yang berbeza. Bagi membentuk identiti tersendiri Lemos Pires, saya juga mengadunkan batik sedia ada bersama material lain,” petah Puthut memperincikan jawapan tatkala ditemui bersama kakaknya, Herlina Kristanti, 31, yang juga rakan kongsi di Lemos Pires.

Campuran batik bersama fabrik lain bukanlah kerja mudah. Kesukaran itu dilalui sendiri Puthut yang menyifatkan batik lawasan sebagai batik paling sukar untuk dipadukan. Ia ekoran elemen kepudaran yang terdapat pada batik tersebut.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

footerwidget2

footerwidget1

footerwidget4

footerwidget3

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.