Punca dan Kesan Urat Simpul

at Monday, 1 April 2013 [ 17:28 ]

Pernahkah anda melihat wanita yang memiliki urat-urat timbul di bahagian kaki yang kadangkala kelihatan bersimpul-simpul dan berwarna biru? Atau mungkin anda sendiri mengalaminya namun sehingga kini tidak tahu rawatan sesuai yang mampu menangani masalah itu?

Jika anda penderita masalah urat simpul, setuju andai dikatakan urat-urat itu sangat merunsingkan fikiran anda sekali pun kaki bagi sesetengah daripada kita merupakan bahagian yang sering ditutup. Dan sekali pun ada sesetengah penghidap tidak berasa sakit, urat simpul tetap dianggap beban kerana ia melibatkan masalah kosmetik kekal pada individu terbabit yang semestinya tidak boleh dirawat dengan cara biasa.

Urat Membiru

Urat simpul atau vena varikos berlaku apabila vena (salur darah yang membawa balik darah kurang beroksigen dari bahagian badan yang lain ke jantung dan paru-paru) menjadi tebal dan membesar. Disebabkan pembesaran tersebut, ia kelihatan membiru atau ungu serta berpintal dan akan terkeluar sedikit dari bahagian kulit seakan menggelembung.

Memudahkan pemahaman, vena mempunyai pintu injap kecil untuk mengelak darah daripada mengalir secara terbalik. Otot kaki akan mengepam vena untuk menghantar darah ke jantung, melawan kesan graviti.

Apabila vena menjadi varikos, pintu injap tidak lagi berfungsi dengan betul dan injap tidak berkerja. Ini menyebabkan darah bergerak pada arah yang songsang dan vena membesar lebih daripada biasa.
Vena varikos biasa berlaku pada vena bahagian kaki disebabkan tekanan ketika berdiri. Terdapat juga di bahagian lain seperti vagina namun ia jarang berlaku.


Sering Dialami Wanita
Urat simpul adalah masalah yang sering dialami oleh golongan wanita tetapi lelaki juga tidak terkecuali. Sebanyak 20% wanita mempunyai vena varikos dan 50% daripadanya disebabkan keturunan dan mengandung.

Ia mula berlaku ketika mereka berumur antara 20 dan 30 tahun atau selepas mengandung. Terdapat juga individu yang mengalami vena varikos sejak dari usia belasan tahun lagi.

Ketika mengandung, pertambahan hormon progestron menjadikan vena berkeadaan lega (injap terbuka) mengundang masalah vena varikos selain pembesaran uterus secara semula jadi menekan vena. Pengambilan pil cegah hamil (mengandungi testosteron) memburukkan lagi masalah urat simpul.

Lelaki tidak terkecuali mengalami masalah urat simpul iaitu 10% yang mengalaminya disebabkan keturunan.

Mereka yang berdiri terlalu lama (pekerjaan yang memerlukan berbuat demikian seperti jururawat, pelayan restoran, guru dan sebagainya) serta mereka yang mengalami obesiti juga terdedah menderita urat simpul akibat kaki terpaksa menampung berat badan yang berlebihan.


Kesan Urat Simpul

Mereka yang mengalami masalah urat simpul akan berasa sakit dan tidak selesa di bahagian kaki dan tidak boleh berjalan jauh. Pesakit katanya berkemungkinan mengalami kekajangan pada waktu malam dan lebih teruk lagi, ada juga pesakit yang mengalami gatal-gatal pada kulit. Disebabkan masalah tersebut, pesakit akan mula menggaru hingga terjadi ulser, dermatitis dan ekzema.

Pesakit urat simpul juga akan terasa seperti urat mereka akan pecah sekiranya berdiri terlalu lama.

oleh Bintu Rasyada A. Rahman

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

footerwidget2

footerwidget1

footerwidget4

footerwidget3

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.