Asap si gadis

at Friday, 17 May 2013 [ 01:12 ]

Asap si gadis

Hari ini, jika kita berjalan bersiar-siar di bandar besar bukanlah satu fenomena menghairankan apabila berselisih dengan wanita yang merokok. Sama ada lelaki mahupun perempuan, kita mempunyai pandangan berbeza mengenai isu perokok wanita ini.

Tidak dinafikan, jika kita terserempak dengan perempuan yang sedang menghisap rokok, secara automatik riak wajah akan berubah melihat mereka dengan pandangan kurang menyenangkan. Tapi, itu dulu. Sekarang, masyarakat dilihat lebih terbuka dan isu ini dibangkitkan bukannya untuk mencipta persepsi negatif terhadap golongan terbabit tetapi ia lebih kepada pandangan dan penerimaan orang sekeliling terhadap mereka.

Jika direnungkan kembali, golongan perokok dalam kalangan wanita sudah wujud sejak sekian lama. Malah fenomena ini boleh dilihat sendiri sekiranya kita memasuki kawasan pedalaman ataupun ceruk kampung di luar bandar. Di satu sudut anjung rumah, kelihatan seorang wanita berusia lebih setengah abad tenang menghembuskan asap rokok. Persoalannya, bagaimana pandangan ahli keluarga dan kenalan terdekat mengenai tabiat mereka ini?

Mungkin ada sebilangan berpendapat, golongan perokok dalam kalangan wanita adalah kelompok manusia aneh yang jauh menyimpang daripada norma kehidupan sebenar dan mungkin juga sesetengah berpandangan, kenapa perlu menyekat kebebasan seseorang dengan membezakan lelaki wanita dalam sesetengah hal? Jelas, setiap apa diutarakan ada hujah tersendiri.

Menyelami isi hati beberapa perokok tegar dalam kalangan gadis sekitar ibu kota, penulis berkesempatan bertanyakan beberapa kemusykilan yang bermain di fikiran dan kebanyakan mereka berkongsi pendapat dengan berkata, masyarakat tidak perlu bersikap prejudis atau diskriminasi.

Tidak dinafikan, pengaruh televisyen dan filem yang menggambarkan wanita merokok seolah-olah jahat dan liar sedikit sebanyak mempengaruhi fikiran masyarakat namun kini kebanyakannya sudah boleh menerima walaupun tidak secara drastik.

Rokok memudaratkan kesihatan. Itu fakta sahih malah setiap perokok pasti tahu hakikatnya. Mereka berpendapat, selagi tahu menjaga adab dan tidak ‘sembur’ asap sesuka hati di depan muka orang lain, itu sudah memadai.

Penerimaan setiap orang bergantung kepada dirinya sendiri. Ada yang suka, ada yang menyampah. Setiap orang hanya perlu hormat keputusan, pendirian dan gaya hidup orang lain. Kalau tidak suka, boleh pandang tempat lain.

Bahaya shisha lebih teruk 400 kali dari rokok!

  • Shisha adalah rasa tembakau yang digunakan dalam proses merokok, juga dikenali ‘gelembung Hubble’, amalan popular dari Asia Barat.
  • Tembakau yang digunakan untuk rokok diasapkan terlebih dulu sementara tembakau yang digunakan untuk shisha diperam.
  • Air di dalam shisha tidak dapat menapis banyak jenis toksin dalam asap selain turut mengandungi nikotin, karbon monoksida dan bahan lain seperti rokok biasa. Arang yang digunakan mendap dalam salur pernafasan dan meningkatkan masalah paru-paru kepada lebih teruk berbanding rokok biasa.
  • Penghisap shisha atau tembakau herba berisiko mengalami peningkatan kadar karbon monoksida dalam badan. Ia disebabkan, dalam satu sesi menghisap shisha memiliki kecenderungan 4 hingga 5 kali lebih tinggi kandungan karbon monoksida berbanding semasa menghisap rokok tembakau. Tingginya kadar karbon monoksida ini berpotensi menyebabkan kerosakan otak dan keadaan tidak sedar.
  • Perkongsian paip shisha mendedahkan pengguna kepada bahaya lain seperti penyakit yang merebak melalui air liur. Penyakit berjangkit biasa kita dengar tibi (batuk kering). Tidak hairanlah jika kes tibi di Mesir menjadi satu kebiasaan di semua hospital.
  • Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyebut shisha berbahaya 400 kali ganda daripada rokok kerana mengandungi karbon monoksida, nikotin dan tar yang kepekatannya tinggi berbanding rokok.
  • WHO juga melaporkan, 17 peratus kes penyakit batuk kering, dikaitkan dengan penggunaan shisha.

 

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

footerwidget2

footerwidget1

footerwidget4

footerwidget3

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.