Bukit Katil: Jasa dan bakti tidak semestinya jamin kemenangan

at Monday, 6 May 2013 [ 23:05 ]

MELAKA: Kekalahan Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Bukit Katil pada pilihan raya Ahad lalu menghasilkan satu kesimpulan yang mengejutkan bahawa jasa dan bakti serta kerja keras yang dicurah selama ini tidak semestinya menjamin kemenangan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka itu yang mendapat 40,720 undi tewas dengan majoriti 5,447 kepada pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mendapat 46,167 undi di Parlimen Bukit Katil.

Seperti banyak penganalisis politik, Mohd Ali sendiri sukar memahami keputusan pengundian yang tidak berpihak kepadanya walaupun beliau sudah 13 tahun berbakti di Melaka.

"Saya berasa amat kecewa dengan keputusan pilihan raya kali ini yang tidak berpihak kepada saya dan BN, seolah-olah BN tidak melakukan apa-apa untuk rakyat," katanya selepas menerima keputusan itu.

Pada PRU13, tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Parlimen itu iaitu Ayer Keroh dan Bachang dimenangi DAP manakala Bukit Baru jatuh ke tangan PAS. Hanya DUN Ayer Molek dimenangi BN.

Mohd Ali yang juga anak jati Bukit Katil itu sememangnya terkenal sebagai seorang kuat bekerja malah ada menggelarnya 'workaholic' kerana tugasnya yang bermula seawal pagi hingga awal pagi keesokannya.

Sejak memegang jawatan Ketua Menteri pada 2 Dis 1999, Mohd Ali merangka serta merancang pembangunan negeri khususnya dalam sektor pelancongan melalui Pelan Induk Pelancongan Negeri Melaka yang berjaya mempelbagaikan produk pelancongan di negeri itu.

Projek pengindahan dan pembersihan Sungai Melaka adalah contoh kejayaan pelan itu apabila lebih satu juta orang mengunjungi sungai berkenaan pada 2012.

Malah, Melaka yang diiktiraf sebagai negeri maju pada 2010 turut dinobat sebagai antara destinasi pelancongan terbaik dunia yang mesti dilawati oleh akhbar berpengaruh The New Times.

Daripada segi kebajikan rakyat, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan kepada rakyat tanpa mengira kaum termasuk pembinaan 6,111 unit rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sehingga 2011 dengan kos lebih RM60 juta selain RM84 juta diagih kerajaan negeri untuk membantu golongan kurang bernasib baik di negeri itu pada tahun lalu.

Penganalisis Politik, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam turut melahirkan rasa terkejut dengan keputusan PRU13 itu kerana Mohd Ali disifatkan seorang pemimpin yang kuat bekerja, komited dan tiada protokol dalam bertemu rakyat.

"Rakyat memilih bukan calon yang bekerja kuat tetapi mereka memilih sebaliknya...biasanya kita akan kalahkan calon sekiranya dia tidak bagus, tetapi bagi kes (Mohd Ali), ia berlainan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, Mohd Ali berjaya membangunkan Melaka khususnya kawasan Bukit Katil daripada sebuah kampung biasa ke arah yang lebih moden dan maju dengan segala kemudahan yang membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

Beliau berpendapat pengundi baru terutama golongan muda yang kurang mengenali atau mengetahui pengorbanan ketua menteri itu adalah antara faktor kekalahan itu.

"Perbezaan 5,447 undi adalah terlalu besar kerana Shamsul Iskandar adalah orang baru yang tiada sumbangan dan tidak ramai mengenalinya jika dibandingkan dengan Mohd Ali," katanya.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

footerwidget2

footerwidget1

footerwidget4

footerwidget3

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.