Mampu pengaruhi kehidupan seharian

at Monday, 13 May 2013 [ 19:32 ]

TELEFON pintar sudah pun memberi kesan terhadap gaya sosial Redzuan Rosli, 24, sama ada dalam bidang kerja mahu pun corak pergaulannya.

Membalas dan menerima e-mel kerja bukan setakat di pejabat, malah ketika sedang makan malam di restoran, dia kelihatan resah menjawab soalan daripada pihak atasan menerusi surat elektronik.

Dia yang sedang menjalani latihan dalam kamar perlu sentiasa dikemas kini dengan maklumat kes secara terperinci dan e-mel adalah yang paling sesuai.

Jika kebosanan menguasai diri, peranti bersaiz empat segi tepat sebesar tapak tangan itu juga menjadi teman bakal peguam muda itu untuk berhibur dan bersosial.

“Telefon pintar sememangnya memudahkan kerja dan pada masa yang sama ia menjadi sumber hiburan seperti menonton YouTube dalam telefon!” ungkapnya ketika ditemui di Kuala Lumpur.

Lupakan aplikasi laman sosial yang biasa seperti Facebook dan Twitter yang telah pun melangkaui sempadan usia, generasi dan hubungan sehingga ibu bapa serta ahli keluarga lain berada dalam senarai rakan.

Dengan menggunakan telefon pintar yang mempunyai perkakasan berprestasi tinggi, aplikasi-aplikasi menggunakan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), memberi pilihan kepadanya berbual dalam talian dengan individu baharu.

Antaranya aplikasi seperti Circle, WeChat, Skout dan StreetSpark seumpama platform untuk mengadakan blind date dengan orang berdekatan anda. Tidak seperti Facebook yang mempunyai perincian pada profil pemilik, aplikasi-aplikasi tersebut mempunyai maklumat yang sangat minimum bagi membolehkan sesi perkenalan lebih mengasyikkan.

Aplikasi seperti itu menggunakan GPS untuk mengesan individu yang sedang dalam talian dan satu senarai dikeluarkan. Kaedahnya berbeza-beza antara satu sama lain, ada yang menyenaraikan senarai kenalan pada kawasan berdekatan, manakala yang lain perlu digoncang sebelum ditemukan dengan rakan chat baharu.

Lebih menarik, semua aplikasi itu boleh mengesan anggaran jarak antara anda dengan senarai rakan chat yang ada. Kebanyakannya berada dalam lingkungan jarak yang dekat.

TELEFON pintar boleh digunakan untuk pembayaran melalui aplikasi kad kredit.

Dengan ciri antara muka yang menarik dan mudah untuk melihat senarai dengan meleret pada skrin, pengalaman bersuaikenal bersama orang tidak dikenali menjadi lebih menyeronokkan.

Seorang pemuda yang mahu dikenali sebagai Ali Rahman, 23, berkongsi cerita bahawa dia berjumpa dengan kekasihnya sekarang menggunakan aplikasi berasaskan GPS itu. Ujarnya, detik-detik perkenalan mereka masih diingati dengan baik.

“Ketika itu saya sedang minum petang berseorangan di sebuah restoran. Lantaran rasa bosan, saya terus hidupkan aplikasi ini dan chatting dengan salah satu profil yang menepati pilihan saya. Lawaknya, dia sebenarnya berada selang dua meja dari saya. Kami duduk semeja dan kini, sedang berpasangan dan barangkali akan mengambil langkah ke fasa seterusnya,” kenang lelaki itu dengan senyuman tidak putus-putus di bibir.

Hakikatnya, kelompok pengguna aplikasi seperti itu memang ramai. Malah, dalam laman web CNN, aplikasi Skout telah pun memiliki pengguna lebih 1 juta orang dengan purata usia antara 24 hingga 25 tahun, kata pengasasnya, Christian Wiklund.

Beri kesan

Sememangnya, telefon pintar sudah mula memberi kesan kepada penduduk Malaysia baik dari segi telekomunikasi sehingga dalam kehidupan seharian.

Pengguna berdaftar telefon di Malaysia pada tahun lalu seramai 33.6 juta dan 30 peratus daripadanya pengguna telefon pintar (smartphone) yang terdiri daripada penduduk bandar.

Selebihnya, pengguna telefon ciri asas (feature phone). Di Singapura, pengguna sudah mahu menghampiri 60 peratus, manakala Thailand dan Indonesia sekitar 20 peratus.

Menurut Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih Malaysia (MMCP), Johary Mustapha, 35, penggunaan telefon pintar mencapai tahap kritikal apabila jumlah pengguna mencapai 50 peratus di sesebuah negara. Pada waktu itu, penggunaan telefon pintar sudah menjadi satu keperluan.

“Kesannya, semua perkara perlu dan mesti ada dikaitkan dengan telefon dan bukan opsyen lagi atas dasar lebih separuh rakyat Malaysia memilikinya,” terang Johary ketika ditemui di pejabatnya di Megan Avenue II, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun tambah beliau, sukar dijangka tempoh masa bilangan penduduk Malaysia menggunakan telefon pintar mencapai tahap kritikal.

Namun begitu, berdasarkan kadar pengembangan sekarang, ia bakal dicapai dalam tempoh dua hingga tiga tahun mendatang.

Kuasa belanja

Tempoh matang tersebut sukar diramal kerana ia bukan sahaja merangkumi pelbagai aspek, malah tidak bergantung kepada tahap infrastruktur sahaja. Faktor lain yang diteliti ialah kuasa belanja rakyat Malaysia dan pendekatan pengguna terhadap telefon pintar seperti persekitaran, pendidikan serta kesedaran.

Industri mobil di Malaysia mula berkembang sekitar tahun 2000 apabila telekomunikasi analog berubah kepada digital dengan pemain industri seperti Adams dan Immartel muncul. Ketika itu, penghantaran suara lebih jelas berbanding zaman telefon atur, seterusnya khidmat pesanan ringkas (SMS) pada tahun 2003.

Kini, industri telefon pintar memasuki fasa baharu dan mula berkembang dengan pesat. Telefon pintar merupakan pencantuman antara Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dengan telekomunikasi.

BAHAN untuk telefon pintar semakin maju kehadapan seperti skrin sesentuh.

Aplikasi mobil

Sebelum ini, telefon ciri asas merupakan telekomunikasi sahaja. Telefon pintar merangkumi perkakasan, sistem operasi (OS) dan aplikasi. Perkakasan terdiri daripada fizikalnya seperti skrin sesentuh, bateri, memori dan pemprosesan.

Sistem operasi sekarang yang terkenal iOS dan Android selain Windows Phone serta BlackBerry 10. Sistem operasi yang sama seperti Android kini boleh dimasukkan ke dalam semua telefon. Berbanding dahulu, setiap jenama telefon mempunyai sistem sendiri.

Aplikasi mobil pula membolehkan sesebuah telefon itu dapat bertindak di hujung jari. Pada mulanya, ia direka untuk produktiviti dan pencarian maklumat, tetapi kenaikan kehendak pelanggan serta kebolehsediaan para pembikin, menjadikan koleksi kategori berkembang.

Telefon yang dahulu menggunakan pad kekunci sesentuh (taktil), kemudian Qwerty dan skrin skrin sesentuh dengan kadar memori dan cip pemprosesan meningkat.

Johary yang berkesempatan ke Kongres Mobil Dunia di Barcelona, Sepanyol sempat melihat gajet terbaharu dikeluarkan oleh Google, Google Glass.

Google Glass merupakan paparan head-mounted (HMD) yang seakan-akan gajet bebas tangan untuk telefon pintar, manakala di Jepun, Johary telah melihat teknologi pengecas bateri pantas oleh NTT DoCoMo.

“Aplikasi sudah berada pada tahap terkehadapan berbanding perkakasan,” ulas Johary mengenai perkembangan teknologi telekomunikasi ICT.

Sebagai contoh, terdapat aplikasi yang boleh membaca kadar degupan jantung bagi memantau kesihatan berkaitan organ itu.

Teknologi perkakasan

Bagaimanapun, buat masa sekarang tidak mungkin fizikal telefon pintar secara tiba-tiba mengalami transformasi menjadi alat atau peranti khas memeriksa kadar degupan jantung.

Pengembangan teknologi perkakasan lambat kerana ia bersifat subjektif kepada para pengguna. Barangkali, kadar kepantasan membuka aplikasi yang perlahan boleh diterima oleh sesetengah individu, yang lain sesuatu tidak boleh diterima.

“App. boleh digunakan untuk menjana wang atau meningkatkan produktiviti,” ungkapnya lagi.

Aplikasi perbankan, kad kredit, membeli tiket wayang atau menempah hotel membolehkan produktiviti seseorang meningkat kerana ia boleh dilakukan serta-merta pada masa nyata.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

footerwidget2

footerwidget1

footerwidget4

footerwidget3

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.